Permohonan Pencalonan Anggota Lembaga Koperasi Ladang Berhad Bagi Tahun 2026

 

 

Para Anggota Koperasi Ladang Berhad,

Adalah dimaklumkan bahawa Koperasi Ladang Berhad telah diarahkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mendapatkan penentusahan daripada Suruhanjaya sebelum pelantikan atau pelantikan semula mana-mana orang sebagai Anggota Lembaga Koperasi sebagaimana kehendak subseksyen 43(2) Akta Koperasi 1993 mulai tahun 2026.

Kriteria layak dan sesuai sebagai Anggota Lembaga seperti mana garis panduan di dalam GP3 oleh SKM adalah seperti berikut:-

a)      Kejujuran, Reputasi dan Integriti Peribadi

         Seseorang hendaklah mempunyai keunggulan peribadi seperti kejujuran, integriti, ketekunan dan kewajaran keputusannya.

        • (i)        bukan seorang yang dimulakan prosiding dan disabitkan dengan suatu kesalahan boleh daftar atau sesuatu kesalahan di bawah Akta 502;
          (ii)       seorang yang tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang bertulis sehingga dikenakan tindakan penguatkuasaan;
          (iii)      seorang yang tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang bertulis yang dirangka untuk melindungi anggota atau orang awam daripada mengalami kerugian kewangan akibat tidak jujur, salah laku atau tidak kompeten;
          (iv)      seorang yang layak di bawah seksyen 26 Akta 502 untuk menjadi anggota dan tidak hilang kelayakan di bawah seksyen 27 Akta 502 untuk menjadi anggota;
          (v)       seorang yang bukan dikenakan tindakan disiplin, digantung atau diberi amaran bertulis oleh badan kawal selia atau badan profesional;
          (vi)      seorang yang tidak digantung, dipecat atau ditamatkan jawatan anggota Lembaga oleh mana-mana koperasi atau Suruhanjaya;
          (vii)     seorang yang tiada kaitan dengan perihal pemilikan atau pengurusan dalam apa-apa Syarikat di mana lesen, keahlian atau pendaftaran entiti tersebut telah dibatalkan, ditarik balik atau ditamatkan; dan
          (viii)    bukan seorang yang tidak mendedahkan percanggahan kepentingan sebagaimana di bawah seksyen 44A dan 44B Akta 502.

b)       Keupayaan dan Kompeten

          Seseorang hendaklah mempunyai kemahiran sewajarnya, pengalaman, kebolehan dan komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab.

        • (i)       seorang yang mempunyai kelayakan, kemahiran, pengalaman dan komitmen yang bersesuaian untuk menggalas tugas serta tanggungjawab sebagai anggota Lembaga koperasi mengikut tata kelola Jawatankuasa Pencalonan Koperasi; dan
          (ii)      seseorang yang mempunyai kemahiran dalam mentadbir koperasi dengan lebih berkesan melalui Pendidikan dan Latihan secara berterusan sebagaimana dikehendak GP5.

c)       Integriti Kewangan

          Seseorang hendaklah mengurus tanggungan atau kedudukan kewangannya secara berhemat.

        • (i)       seorang yang berkemampuan memenuhi tanggungan kewangan serta mempunyai rekod kewangan yang bersih dan memuaskan; dan
          (ii)      seorang yang tidak mempunyai apa-apa hutang tertunggak yang melebihi enam (6) bulan kepada mana-mana institusi kewangan yang berlesen, koperasi atau penyedia perkhidmatan kewangan yang lain.

Kelayakan menjadi Anggota Lembaga mengikut Undang-Undang Kecil Koperasi Ladang Berhad pula adalah seperti berikut:-

36.    (1)        Tiada seorang pun layak menjadi anggota Lembaga atau kekal sebagai seorang anggota Lembaga, jika dia–

                    • (a)       telah disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta;
                    • (b)       telah dipecat sebagai seorang pegawai sesuatu Koperasi;
                    • (c)       menjadi anggota Jawatankuasa Audit Dalaman bagi Koperasi ini;
                    • (d)       ada percanggahan kepentingan diri dalam mana-mana aktiviti yang diusahakan oleh Koperasi ini;
                    • (e)       belum genap tempoh dua tahun menjadi anggota Koperasi yang telah didaftarkan melebihi dua tahun;
                    • (f)       tidak mempunyai syer sekurang-kurangnya RM1,000.00 (Ringgit : satu ribu).
                    • (g)      telah mencapai umur 80 tahun.

(2)        Walau apa pun fasal (5) undang-undang kecil 18, seorang penama atau wakil yang diterima menjadi anggota yang belum genap tempoh dua tahun dari tarikh diterima menjadi anggota tidak layak untuk dipilih menjadi anggota Lembaga.

Sehubungan dengan itu, anggota-anggota yang berminat menjadi calon Anggota Lembaga Koperasi hendaklah melaksanakan perkara-perkara seperti berikut:-

      1.      Memastikan dilantik menjadi Perwakilan ketika Mesyuarat Agung Kawasan dan mesti hadir ke Mesyuarat Agung Perwakilan.

2.      Hendaklah memilih satu pilihan sahaja sama ada bartanding sebagai Calon Wakil Negeri atau Calon Wakil Bebas dengan melengkapkan Borang KLB/CALON-ALK/2026 yang mengandungi enam (6) bahagian:- https://koperasi-ladang.com/wp-content/uploads/KLB_CALON_ALK_2026.pdf (Link Download)

        • a)  Bahagian  A : Butir-Butir Calon
          b)  Bahagian  B : Jenis Pencalonan
          c)  Bahagian  C : Butir-Butir Pekerjaan Semasa
          d)  Bahagian  D : Butir-Butir Pasangan
          e)  Bahagian  E : Aktiviti Luar/Persatuan Yang Terlibat
          f)   Bahagian  F : Akuan Calon

3.      Melengkapkan Borang Permohonan Pencalonan yang dikeluarkan secara rasmi oleh SKM yang mengandungi empat (4) bahagian:- https://koperasi-ladang.com/wp-content/uploads/CALON_ALK_SKM_2026.pdf (Link Download)

        • a)  Bahagian A : Maklumat Peribadi Calon
          b)  Bahagian B : Kebenaran calon untuk Mendedahkan Maklumat
          c)  Bahagian C : Akuan Calon
          d)  Bahagian D : Makluman (sebagai rujukan calon)

4.      Calon Anggota Lembaga Koperasi juga diminta untuk mengemukakan dokumen-dokumen tambahan seperti berikut:-

        • a) Salinan Kad Pengenalan (depan dan belakang – salinan-salinan berkenaan hendaklah dipalang dan ditulis “UNTUK KEGUNAAN SURUHANJAYA SAHAJA“)
        • b) Salinan Sijil Modul Wajib Pendidikan dan Latihan dari SKM/IKMA (jika ada)
        • c) Laporan Kredit Institusi Kewangan (CCRIS/CTOS) https://eccris.bnm.gov.my , https://ctoscredit.com.my   
        • d) Carian Status Kebankrapan Individu dari Jabatan Insolvensi Malaysia https://e-insolvensi.mdi.gov.my
        • e) Salinan Sijil Akademik/Tahap Pendidikan
        • f ) Dokumen/Surat Pengesahan Kesihatan daripada pengamal perubatan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
        • g) Salinan penyata akaun bank untuk tempoh tiga (3) bulan yang terkini.

5.      Maklumat dalam Borang Permohonan Pencalonan hendaklah ditaip dengan jelas.

6.      Sekiranya ruang yang disediakan tidak mencukupi, kertas tambahan boleh dilampirkan.

7.      Sila lengkapkan semua maklumat yang diperlukan dan nyatakan “Tiada” atau “Tidak Berkaitan” sekiranya perkara tersebut tiada kaitan.

8.      Borang-borang boleh dibuat salinan (fotostat) mengikut keperluan.

Calon Anggota Lembaga hendaklah terlebih dahulu mengemukakan permohonan yang telah lengkap diisi kepada Koperasi Ladang Berhad selewat-lewatnya pada 15 Mac tahun semasa untuk diserahkan kepada SKM bagi penentusahan.

Sekiranya permohonan pencalonan yang dikemukakan telah mendapat kelulusan daripada SKM, maka tempoh sah pencalonan tersebut adalah berkuat kuasa selama tiga (3) tahun.

         Calon juga hendaklah, sebelum dilantik sebagai Anggota Lembaga, bersetuju untuk membaca, memahami dan menandatangani Akuan Tanggungjawab Fidusiari Anggota Lembaga yang dilampirkan bersama-sama ini. https://koperasi-ladang.com/wp-content/uploads/AKUAN_TANGGUNGJAWAB_FIDUSIARI_ALK.pdf (Link Download)

Kaedah pemilihan Anggota Lembaga Koperasi Yang Tamat Tempoh Jawatan Mengikut Giliran

1.      Boleh dicalonkan semula atau diisi oleh calon-calon yang dipilih dikalangan Perwakilan yang hadir ke Mesyuarat Agung Perwakilan dengan syarat telah melepasi penentusahan oleh SKM.
2.      Calon Anggota Lembaga Koperasi boleh memilih hanya satu pilihan sama ada bertanding sebagai Calon Wakil Negeri atau Calon Wakil Bebas.
3.      Pemilihan akan dilaksanakan secara undian yang dikira bersesuaian oleh Perwakilan semasa di Mesyuarat Agung.
4.      Sekiranya Anggota Lembaga Koperasi tersebut yang tamat tempoh jawatan bagi Wakil Negeri, maka Calon Anggota Lembaga Koperasi yang ingin bertanding hendaklah daripada Negeri yang sama.
5.      Sekiranya Anggota Lembaga Koperasi tersebut yang tamat tempoh jawatan bagi Wakil Bebas, maka Calon Anggota Lembaga Koperasi yang ingin bertanding adalah terbuka kepada semua Negeri.